Wednesday, 27 May 2009

Nilai Pendidikan


Assalamualaikum.

Moga ditetapkan nikmat Iman dan Islam kita hari ini.

Baru-baru ini, filem LASKAR PELANGI yang mengambil jalan cerita dari karya penulis Andrea Hirata benar-benar mengangkat martabat kepentingan pendidikan sedari peringkat rendah lagi. Tahniah buat warga kerja filem Indonesia yang terbukti mampu menghasilkan filem yang bermanfaat dan sesuai untuk semua golongan umur. Bukanlah niat untuk mengagungkan filem luar lebih daripada filem-filem Malaysia, namun itulah hakikat industri perfileman masa kini. Anak muda remaja disogokkan dengan filem ala-ala Remp-it, Bohsia yang kadang hanya menyumbang kepada kerosakan peribadi walaupun mesej asalnya adalah untuk kesedaran para muda-mudi supaya tidak terlibat dengan aktiviti tidak sihat itu. Terpulang kepada individu bagaimana mereka menterjemah filem-filem terbabit sama ada yang buruk dijadikan sempadan dan yang baik dijadikan teladan ataupun sebaliknya.

Nabi S.A.W. sabdanya : "Tidak berlaku saat kiamat melainkan tidak ada di dunia ini selain daripada orang-orang jahat (yang tidak mengenal baik dan buruk)." -Ibn Mas'ud-



Berbalik kepada nilai pendidikan di Malaysia, bermula dari alam sekolah rendah, sekolah menengah, diikuti peringkat matrikulasi dan seterusnya kehidupan di universiti, adakah benar peluang pendidikan itu diguna sebaik mungkin? Cukupkah kecemerlangan akademik berjalan seiring dengan kecemerlangan nilai modal insan yang wajar dititikberatkan? Syukur ada pelajar seperti Nik Nur Madihah mencatat kejayaan 20A SPM 2008 walaupun hidup serba kekurangan. Mujur juga lahirnya Najmil Faiz, mahasiswa Asia yang melakar sejarah membentangkan hasil kajiannya kepada anggota Parlimen United Kingdom di London. Namun, masih ada segelintir mereka yang berseragam sekolah sibuk melepak di kompleks membeli-belah, dan lihat sahaja berapa banyak kes pelajar sekolah dibuli malahan membuli guru sehingga pernah mengorbankan nyawa.

Tidak kurang juga mahasiswa harapan bangsa, pelapis pemimpin negara tersungkur di pertengahan pengajian lantaran daripada kesilapan yang dilakukan. Pergaulan bebas, ditangkap khalwat, kekeliruan identiti [golongan lelaki lembut] menyumbang kepada salah satu kerapuhan nilai murni. Adakah begini pendidikan mengajar kita? Suka saya mengimbas adegan dalam filem Laskar Pelangi dimana Lintang yang merupakan pelajar pintar terawal mendaftar di SD Muhamadiyah Gantong turut menjadi pelajar terawal menamatkan persekolahan setelah peninggalan kedua orang tuanya menjadikan tanggungjawabnya sebagai anak sulung bertambah berat dalam mengurus keluarga. Di sini dapat dilihat bagaimana kesusahan itu menjadikan seseorang lebih menghargai peluang berbanding mereka yang berada di zon selesa akan terus leka tanpa sedar.


Justeru, saya fikir langkah bijak pihak GAMIS dalam menganjurkan Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara sebagai salah satu solusi atau permulaan mahupun titik tolak kepada penerapan nilai Islam dalam sistem pendidikan yang dilihat kian tenggelam dimakan arus kemodenan. Generasi muda perlu didekati dan dididik melalui pendekatan yang terbaik seperti firman Allah yang bermaksud,
"Dan serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan peringatan yang baik." (An-Nahl:125)"

Mungkin isi kandungan kongres ini mampu menjadikan nilai pendidikan lebih dihargai, warga pendidik lebih dihormati selagi mana ianya tidak dipandang enteng oleh pihak-pihak terlibat baik golongan pelajar, mahasiswa, ibu bapa mahupun kerajaan itu sendiri. Usaha ini tidak mustahil akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa sekiranya mempunyai gandingan tenaga kerja yang mantap dan saling menyokong. Walaupun impaknya mungkin bukanlah diperoleh dalam jangka masa pendek, namun diharapkan memberi kesan dalam tempoh jangka masa panjang bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja berpendidikan, malahan lengkap dengan aset sahsiah yang tinggi. Dengan asas sistem pendidikan yang berteraskan agama, barulah masyarakat dapat dihindarkan daripada sebarang kemelut dan gejala moral yang meruncing pada masa mendatang. InsyaAllah.

No comments: