Bismillahirrahmanirrahim...
Setiap yang beriman itu bersaudara. Allah mendahulukan iman sebelum hadirnya hubungan bersaudara. Kerana iman itu asasnya, akidah itu ikatannya, dan hasilnya semua manusia yang terikat dengan ikatan itu adalah bersaudara.
Ya, ukhwah itu dasarnya iman. Iman itu terletaknya di hati. Tahap paling rendah ukhwah adalah berlapang dada. Dan yang tertinggi adalah mengutamakan saudaranya melebihi diri sendiri. Teori sangat mudah dilafazkan. Tapi praktikalnya, bukan semudah bicara.
Cikgu baik kata, kena merancang sesuatu yang besar, mulakan dengan yang sedikit, tetapi kena bertindak sekarang. Sekarang!
Saya berhajat besar, mahu menjadi seperti orang-orang Ansar yang menjadi contoh kerana punya ukhwah yang terbaik. HIJRAH, peristiwa besar itu menyaksikan bagaimana Ansar begitu mengutamakan orang-orang muhajirin berbanding mereka sendiri.
Saya mengaku yang saya masih lemah untuk ithar, masih belum ikhlas. Senang cerita saya belum pernah mengutamakan saudara saya melebihi diri saya sendiri. Oh, sebenarnya, saya masih bertatih untuk berlapang dada.
Baiklah, saya perlu bermula semula dengan berlapang dada. Sebut memang senang, tapi bila berhadapan dengan berbagai kerenah saudara-saudara seiman, kadang-kadang kalah juga hati saya, bermonolog yang bukan-bukan. Mujurlah ada saja cikgu baik yang mengingatkan bahawa punca ukhwah bermasalah kerana iman di hati yang bermasalah. Oh, beristighfarlah dengan ikhlas..
Saudaraku,
Sebenarnya di dalam jiwa setiap manusia, terkandung sifat pemaaf. Pastinya itu adalah anugerah dari Allah ya Ghaffur. Cuma kadang-kadang sifat itu terlindung dan ditutup oleh belengu-belenggu jahiliyyah.
Mengenangkan sifat Allah yang Maha Pengampun, pastinya akan mengalir titis-titis jernih dari mata mereka yang beriman dengan sebenar-benar iman. Tidak kira sebesar mana pun dosa yang telah dilakukan, pasti Allah memaafkan, mengampunkan, asalkan kita mahu bertaubat. Masakan ada manusia yang bersikap pemaaf sedemikian rupa. Sungguh, tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Allah.
Namun saudaraku, bait-bait cinta Allah dalam Al-Furqan mestilah diambil pengiktibaran. Berulang-ulang Allah menyebut... Innallaha ghafururrahim... Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Innallaha tawwaburrahim... Sungguh, Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.
Pengampunan yang tersedia ini bukanlah bermakna bahawa manusia bebas melakukan apa sahaja. Tetapi ia seolah-olah adalah satu teguran lembut daripada Allah, "Tidakkah kamu mahu bersyukur?". Maha suci Allah yang Maha Penyayang.
Saudaraku, terlalu banyak duri-duri ukhwah dalam setiap langkah kita dalam perjuangan hidup ini. Harus kita ingat bahawa orang yang bertaqwa itu perlu berhati-hati dengan mengelakkan dzon (prasangka) yang bukan-bukan. Kerenah manusia pelbagai ragam. Namun, iman yang sejati pasti dapat menyelamatkan. Ingatlah... Innallaha ghafururrahim...
Maka sediakanlah kemaafan dalam hatimu kemas-kemas. Walau apa pun yang berlaku dalam ukhwah kita, ambillah kemaafan itu dan serahkanlah pada saudara-saudara kita. Kemudian ukirlah senyuman manis dan sediakan kembali kemaafan di dalam hatimu untuk episod-episod hidup yang mendatang. Itulah sebahagian yang dinamakan berlapang dada... Mudah-mudahan kemanisan iman dapat kita kecap kerana cinta kita pada saudara kita adalah semata-mata kerana Allah.
Sediakanlah kemaafan... Sebarkanlah kasih sayang...
Ya Allah... lapangkanlah dada kami, mudahkanlah urusan kami dengan rahmatMU, dan perelokkanlah akhlak dan butir bicara kami demi mengangkat kalimah Mu di hati-hati ummat ini... Amin.
p/s: diterbitkan semula kerana aku rindu tulisan ini. serius. afwan ya, ukhti. <3




