Monday, 19 May 2008

Hijrah


Seorang sahabat ana sering berkata, “Berhijrah itu bukan mudah”. Benar tapi pada ana cabaran itu tentu manis, mengapa tidak kita mencuba? Kata orang belum cuba, belum tahu.

Diceritakan pada ana kisah rakan ana yang dulu dikenali agak sempoi dan rock. Boleh kata kasar la perwatakannya. Meh ikuti rentetan yang sempat ana coretkan mengenai insan ini.

-MAKKAH 2004-

Alhamdulillah peluang untuk sahabat ana menunaikan umrah telah tiba di saat dia bergelut dengan peperiksaan setara SBP daerah Johor. Tidak sia-sia hasratnya ingin menunaikan umrah sebelum mengambil peperiksaan SPM yang diluahkan pada orang tua nya akhirnya bakal menjadi kenyataan. Tidak dinafikan jauh di sudut hatinya timbul rasa gementar, risau, bimbang- apakah layak dia menjadi tetamu rumah Allah? Bagaimana dengan dosanya selama ini? Adakah semuanya akan dibalas setibanya dia di sana seperti kisah-kisah orang derhaka mendapat balasan ketika di Baitullah yang diceritakan Mastika itu? Namun, nasihat ibunya supaya rajin melakukan solat sunat taubat, hajat dan pelbagai persediaan untuk ke sana berjaya dia laksanakan.

Nak dijadikan cerita, ketika di Madinah, hati insan ini memberontak tatkala ibu bapanya mengajak untuk membeli cenderamata untuk kerabat di Malaysia. Tambahan lagi dengan cuaca panas, hatinya tidak senang, mulutnya mengomel semacam. Hal sebegitu berlanjutan di Mekah, kadang-kadang tanpa disedari dia meninggikan suara terhadap orang tuanya, bermasam muka apabila hajat tak dituruti. Di akhir perjalanan umrahnya, selepas tawaf selamat tinggal, baru dia tersedar. Mungkin Allah datangkan rasa tidak senang dalam hatinya selama ini tanda balasan terhadap dosa-dosa yang dilakukannya selama ini..Nah, ibadah dalam keadaan begini tidak dirasa kemanisannya. Dia menyesal.

Sekembalinya dia ke Malaysia, peribadinya masih begitu. Tidak banyak berubah. Terdetik juga di hatinya, “Kenapa sukar untukku berubah? Sedangkan ku dah pun pergi umrah.” Allah Maha Penyayang. Cahaya hidayah itu datang sedikit demi sedikit setelah insan ini melangkah kaki meneruskan pengajian ke kolej matrikulasi. Dia mula kisah tentang auratnya. Dia cuba merapatkan diri dengan individu-individu yang mempunyai fikrah islamiah. Dia ingin berubah. Dia dah mula prihatin dengan orang tuanya. Kalau dulu ceramah motivasi, sukar benar dia mengalirkan airmata. Sekarang, tengok drama kekeluargaan sering mengundang tangis esaknya. Perubahannya bersambung ketika menuntut di universiti. Jawatan sebagai ketua biro jawatankuasa kolej mengajarnya erti kepimpinan. Dia sudah mula bertanggungjawab sebagai anak, pelajar, pemimpin dan yang paling utama, hamba ALLAH. Alhamdulillah pergaulannya bersama rakan-rakan yang elok pekerti membuka hatinya sekali lagi untuk menutup aurat yang selama ini tidak begitu diendahkan. Jikalau sebelum ini, hatinya begitu ingin memakai stoking kaki, tapi dek takut kata nista orang atas perubahannya itu, maka dibiarkan hasrat murni itu. Kini, rasa takut kepada Allah mengatasi segalanya. Dikuatkan hatinya untuk berubah, biarlah orang nak kata apa. Alhamdulillah, dia lebih tenang dengan penampilannya kini dan berhasrat untuk terus mendalami ilmu Islam. Mungkin banyak lagi penghijrahan yang perlu dilakukan..

Ana pun tumpang gembira atas perubahan positif rakan ana, dan ana mengharap agar kekuatan untuk berubah itu sentiasa dibekalkan oleh Yang Esa supaya lebih istiqamah hendaknya. InsyaALLAH. Di sini ingin ana berkongsi :
" Dari Amirul Mukminin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab Radiallahu’anhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan ) Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan RasulNya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dikehendakinya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan. "

p/s : doakan 'insan' di atas sentiasa istiqamah dalam tindak-tanduknya. Amin~

No comments: