Monday, 12 January 2009

Selamat Mengundi!

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Hari mengundi hampir tiba. Kalau di luar bahang pilihanraya di Kuala Terengganu dirasai, tak kurang hebat juga suasana di UTM sendiri. Penulis teringat nak memulakan post ni dengan sebuah hadis :

Dari Abi Hurairah r.a katanya : “Telah bersabda Rasulullah SAW : “ Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tipu menipu, janganlah kamu saling belakang membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya. Taqwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali) Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya. Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.
Riwayat Muslim

Saya rasa cukup jelas untuk dihadam maksud hadis ini dan tak memerlukan penerangan lanjut. Dan saya fikir, mereka yang bertanding untuk pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar tentunya sudah arif tentang apa yang bakal mereka tempuhi masa akan datang. Bukan hanya bermain kata, melemparkan manifesto-manifesto perjuangan, tapi bila tiba masa sewajarnya - janji itu hanya tinggal janji. Bersedialah kamu untuk menjawab di akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :”Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.”
Riwayat Muslim

Berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Tak salah saya fikir, kalau setiap kelebihan dan kelemahan digabungkan menjadi satu kekuatan untuk satu tampuk kepimpinan. Cumanya, perlulah amalkan sikap toleransi, tak perlu taksub pada sesuatu. Rasulullah sendiri berdakwah dengan cara berhikmah, mengapa tidak kita ikuti qudwah hasanah sebegitu?

Orang luar mungkin kurang jelas dengan isu yang saya cuba sampaikan di sini. Saya harap mahasiswa warga kampus yang bakal keluar mengundi esok hari, undilah calon yang anda fikirkan berkaliber. Jangan pilih atas dasar paras rupa sebab pepatah Inggeris ada mengatakan, "Don't judge a book by its cover".

Untuk mereka yang bakal menang, laksanakan amanah sebaik mungkin. Jangan hanya pandai menuding, musyawarah lah untuk menyelesaikan masalah. Jadikan sesi kepimpinan antum satu kenangan termanis dan rapatkanlah ukhuwah Islamiyyah antara antum. Wallahua'lam.

"I'm and I'll always stand on my own principle"

No comments: