Wednesday, 20 August 2008

Ajal Tidak Mengira Tempat

Sumber : http://www.bharian. com.my/

JENAZAH Allahyarham Abdullah Halos, 55, (gambar kecil) diusung keluar dari pusat Kesihatan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia, Skudai selepas disahkan meninggal dunia akibat serangan sakit jantung ketika menunggu masuk ke Dewan Sultan Iskandar bagi upacara konvokesyen anaknya, Mohd Fairuz Abdullah, 23, semalam.


JOHOR BAHRU: Hasrat seorang bapa untuk melihat anak sulung lelakinya menerima ijazah pada Konvokesyen Ke-41 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam, tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia kira-kira 100 meter sebelum memasuki Dewan Sultan Iskandar universiti itu.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, bekas Timbalan Pengarah Pos Malaysia Johor, Abdullah Halos, 55, dikatakan rebah ketika berjalan bersama isteri dan tiga anaknya selepas meletakkan kereta berhampiran tasik UTM, kira-kira 400 meter dari dewan berkenaan.


Pasukan perubatan UTM yang kebetulan berada di kawasan itu, membawa Abdullah ke Pusat Kesihatan UTM dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan, tetapi disahkan sudah meninggal dunia.


Anaknya, Mohd Fairul, 23, berkata ketika itu beliau bersiap di belakang dewan untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik yang dijadualkan pada jam 1.30 tengah hari.


"Saya terkilan ayah tidak sempat melihat saya menerima ijazah. Namun, kami reda dengan pemergiannya kerana Allah lebih menyayanginya, " katanya.
**Patutlah saya terdengar siren ambulan pusat kesihatan yang bunyinya agak kalut.. Rupanya ada musibah di sebalik kegembiraan konvokesyen yang berlangsung. Takziah diucapkan pada keluarga arwah. Kami seluruh warga UTM mendoakan mudah-mudahan roh arwah turut ditempatkan bersama-sama golongan yang bertaqwa. Berita kematian yang kerap didengar akhir-akhir ini malah berlaku dekat dengan saya, mungkin memberi petunjuk supaya saya lekas bertaubat padaNya. Ya Allah, berkatilah kehidupanku dan umat Islam di segenap pelusuk dunia ini. Amin ya Rabbal 'Alamin...

No comments: