Sunday, 20 July 2008

Dugaan Realiti Kehidupan

Setiap yang dinamakan kehidupan pasti berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Baru – baru ini, tersirap darah saya sejurus selepas mesej dari abah dibaca, “Mak sakit tak boleh bangun. Dah bawa ke klinik semalam.” Lantas punat segera ditekan mendail nombor abah. Khabarnya, seluruh kawasan Felda saya telah dijangkiti wabak Chikungunya yang dibawa oleh nyamuk Aedes. SubhanAllah. Rupa-rupanya berita yang saya baca semalamnya telah pun dialami oleh penduduk kampung sendiri, sungguh tak disangka.

Membaca riak kerisauan dari nada suara anaknya, abah cepat-cepat memberitahu yang penyakit tu cuma beri kesan kepada sendi tapi tidak membawa maut. Mendengar penjelasan tu, saya sedikit lega namun hati tetap meronta untuk pulang menjenguk emak. Alhamdulillah, Allah dengar permintaan saya. Apabila akak call untuk mengajak pulang ke kampung, saya terus bersetuju. Lecturer kata, kes saya boleh diklasifikasi sebagai kes kecemasan, dan nasiblah jugak kelas esoknya start agak lewat. Kalau tak sempat balik kampus, cuti la sehari jawabnya. Hehe.. Kepulangan yang tak dikhabarkan mengundang rasa terkejut mak dan abah. Ku jenguk bilik mak kot-kot masih terlantar, tapi takde. Alhamdulillah dipanjatkan sekali lagi apabila mak dah mampu berjalan walaupun perlahan gerakannya dengan bantuan tongkat. Sedih sungguh rasa hati ini, tapi cuba disembunyikan.

Namun begitu, saya percaya ada hikmah di sebalik kejadian. Berita kesihatan emak mengumpulkan kami sekeluarga. Along dan Angah yang sudah berkeluarga turut pulang, mak dan abah pun gembira dapat jumpa dengan cucu-cucu kesayangan mereka. Syukran Ya Rahman atas ujian yang Kau timpakan ke atas hambamu. Jazakallah juga untuk rakan-rakan yang sudi mendoakan ‘kesembuhan’ parents saya, hanya Allah mampu membalas jasa kalian. Mudah-mudahan kehidupan kita semua sama-sama dirahmatiNya.

“Tidaklah Allah menurunkan ujian terhadap hambanya, melainkan yang mampu ditanggung hambanya.”

Berpegang dengan ayat ini, kita akan dapat rasakan hikmah pada setiap kejadian. InsyaAllah.

No comments: